Pengenalan Tentang PPS USM
Persatuan Pegawai Sains USM Malaysia (PPS USM) adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang menyatukan para pegawai sains di USM bagi mengukuhkan jaringan kerjasama antara semua pegawai sains di USM pada masa yang sama berinteraksi dengan pihak pengurusan universiti dan pertubuhan-pertubuhan yang seangkatan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sains sama ada di peringkat universiti atau di peringkat yang lebih tinggi.
Sejak penubuhan PPS USM secara rasminya pada tahun 2007, pelbagai aktiviti telah berjaya dianjurkan sama ada di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa termasuk mesyuarat, seminar, latihan dan persidangan. Daripada segi jaringan kerjasama, PPS USM telah beberapa kali melakukan lawatan penanda arasan ke universiti, universiti yang mempunyai persatuan yang seangkatan disamping terlibat dalam penubuhan Persatuan Pegawai Sains Malaysia.
Penyertaan pegawai sains di USM sebagai ahli PPS USM amatlah memberangsangkan dan setiap kali Mesyuarat Agung PPSUSM diadakan, penyertaan dan kerjasama para pegawai sains di USM semakin meningkat termasuk pegawai sains yang baru. "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" adalah ungkapan yang sesuai untuk dihayati oleh kita bersama. Menyantuni ahli yang masih baru dan menghormati dan sentiasa mengingati ahli yang 'senior' atau yang telah bersara adalah kaedah yang terbaik untuk mengeratkan hubungan bukan sekadar rakan sejawat malah seperti sebuah keluarga yang besar dan akrab.